Friday, March 12, 2010

PERJALANAN JSN 30

Teman,
samudera itu sangat luas
terkadang menakutkan
tapi dia sangat indah
dan menjanjikan pulau impian

Teman,
gunung itu sangat tinggi,
curam dan berliku
tapi di atasnya ada sekawah madu
yang mampu kau hirup sepanjang kehidupan

Teman,
belantara itu sangat tebal dan menakutkan
tapi di hujungnya ada istana impian
yang bakal menjadikan kau ratu sanjungan

Teman,
kerana perjalanan itu
adalah bayangan syurga
usah gentar
kerana kau dilahirkan untuk bahagia
pergilah,
kerana antara doa, rindu, dan ketakutan
ada rimbunan kasih yang bakal dituai

Friday, March 5, 2010

MONOLOG II

Tuhan,
Keluarkan dia dari penjara itu
Kerana di situ dia pernah jadi beku seperti salju,
Kerana di situ dia pernah kehilangan rindu dan wahyu
Kerana di situ dia pernah jadi boneka tak berbaju
Sedang dia akan terus melangkah…

Tuhan ,
Lebarkanlah payungmu mengiringi perjalanan itu
Kerana dia pernah kehilangan tongkat saktinya
Kerana dia pernah luka dari panahan menara tak bernama
Kerana dia pernah tersungkur diterjah sejuta wajah misteri
Sedang dia akan terus melangkah…

Tuhan,
Kalau dia harus membakar diri
Kurniakanlah mukjizat Ibrahim
Kalau dia harus karam dilautan
Kurniakanlah mukjizat Musa
Kalau dia harus sepi di belantara
Kurniakanlah mukjizat Sulaiman
Sedang dia akan terus melangkah…


Tuhan,
Kalau dia harus terus kehilangan
Kapankan hatinya dengan kain putih dari syurga
Dan biarkan dia terus melangkah seperti seorang pendita…
Dia redha.