Thursday, November 25, 2010

MONOLOG ROH NUSANTARA

Tuhan,
Tanah ini,
laut ini, bukan pemisah
Tapi simbol ikatan kasih sayang yg luar biasa
antara dua dimensi, satu rumpun, satu roh, satu jiwa
Kembalikan naluri, darah perjuangan dan persaudaraan kami
walau dgn seribu retak
kembali mengutip kerikil yg panas
menggenggamnya menjadi berlian

Tuhan,
Tanah ini,
laut ini, bukan pemisah
Tapi simbol ikatan kasih sayang yg luar biasa
antara dua dimensi, satu rumpun, satu roh, satu jiwa
kembalikan kami ke landasan kasihmu
supaya kami bisa akrab membina kehebatan
supaya kami bisa bangkit menjadi bangsa besar
yg menaungi seluruh alam

Kampung Batu Besar
Batam, Indonesia

Saturday, June 19, 2010

MUKJIZAT SEPATAH KATA

I
Sepatah ia berkat
Dia bisa menjadi mukjizat
Sepatah yang terpilih
Yang mustahil menjadi boleh

II
Sepatah ucapan nabi
Jadi anutan sepanjang zaman
Sepatah ucap pendita
Jadi panduan seluruh bangsa
Sepatah ajaran guru
Jadi pelita sepanjang usia
Sepatah pesan ibu
Jadi pusaka anak dan cucu
Sepatah janji kekasih
Seribu tahun bakal ditagih

II
Sepatah terlajak pemimpin
Musnah satu empayar
Sepatah ucapan suami
Bergegar tiang arash
Sepatah sumpah Mahsuri
Menjadi dhaif tujuh keturunan

III
Berhati memilih kata
Kerana mulut badan binasa
Jelas memilih kata
Kerana kata mesti dikota

IV
Setiap patah diiring fikir
Setiap kata diring zikir
Terbaik setiap butir
Bangsa hebat bisa diukir
Waspada sentiasa memililih kata
Sepatah tersilap terbunuh seribu jiwa.


zainal mohd jais

Thursday, May 6, 2010

TAKDIR

Tuhan
Alangkah hinanya aku
Ketika aku kehilangan ikhtiar
Kau menguruskan segalanya
Untuk perjalananku
Ketika aku sering lupa untuk syukur
Bila setiap detik menghirup nikmatMu
Kau terus menambahkannya

Tuhan
Alangkah hinanya aku
Kerana setiap kali aku engkar
Engkau terus mengampuniku
Ketika tangan dan kakiku terikat
Tersungkur di sudut
Cuma merenung langit dan tembok
Kau kurniakan aku mukjizat.

Tuhan
Alangkah hinanya aku
Ketika aku terpijak dan terhina
Kehilangan wajah dan jasad
Kau memberikan aku kemuliaan

Tuhan
Alangkah hinanya aku
Setiap kali aku tewas aku menoleh kpdMu
Setiap kali aku menangis aku berbisik kpdMu
Setiap kali aku tersungkur, aku sujud kpdMu
Setiap kali aku kehilangan, aku menadah kepadaMu
Setiap kali aku terkorban, engkau memberikan aku nyawa

Tuhan
Alangkah hinanya aku
Kerana buat kesekian kalinya
Aku sangat letih dan lelah utk melangkah
Lindungilah semua jiwa yg pernah kusentuh
Dan kurniakanlah takdirMu
Sesungguhnya…
Aku redha ya Allah


zainal mohd jais.

Friday, March 12, 2010

PERJALANAN JSN 30

Teman,
samudera itu sangat luas
terkadang menakutkan
tapi dia sangat indah
dan menjanjikan pulau impian

Teman,
gunung itu sangat tinggi,
curam dan berliku
tapi di atasnya ada sekawah madu
yang mampu kau hirup sepanjang kehidupan

Teman,
belantara itu sangat tebal dan menakutkan
tapi di hujungnya ada istana impian
yang bakal menjadikan kau ratu sanjungan

Teman,
kerana perjalanan itu
adalah bayangan syurga
usah gentar
kerana kau dilahirkan untuk bahagia
pergilah,
kerana antara doa, rindu, dan ketakutan
ada rimbunan kasih yang bakal dituai

Friday, March 5, 2010

MONOLOG II

Tuhan,
Keluarkan dia dari penjara itu
Kerana di situ dia pernah jadi beku seperti salju,
Kerana di situ dia pernah kehilangan rindu dan wahyu
Kerana di situ dia pernah jadi boneka tak berbaju
Sedang dia akan terus melangkah…

Tuhan ,
Lebarkanlah payungmu mengiringi perjalanan itu
Kerana dia pernah kehilangan tongkat saktinya
Kerana dia pernah luka dari panahan menara tak bernama
Kerana dia pernah tersungkur diterjah sejuta wajah misteri
Sedang dia akan terus melangkah…

Tuhan,
Kalau dia harus membakar diri
Kurniakanlah mukjizat Ibrahim
Kalau dia harus karam dilautan
Kurniakanlah mukjizat Musa
Kalau dia harus sepi di belantara
Kurniakanlah mukjizat Sulaiman
Sedang dia akan terus melangkah…


Tuhan,
Kalau dia harus terus kehilangan
Kapankan hatinya dengan kain putih dari syurga
Dan biarkan dia terus melangkah seperti seorang pendita…
Dia redha.

Friday, February 19, 2010

Seorang Lelaki & Fatamorgana

Kembali ke padang itu
yang kering, tandus dan gersang
seorang lelaki aneh berjalan tanpa sepatu
tempang bertongkat harap

sambil memungut butir-butir kerikil
yang terasa sangat panas di tumit
dia melihat ke depan
sayup, kosong, fatamorgana...

Melihat ke belakang
perjalanan yang sangat lelah
medan tempur penuh luka dan parut,

Sambil menyeret sebelah kakinya yang tempang
sambil terus memungut butir kerikil yang panas
dia menggenggamnya tanpa sedar,
jemarinya terbakar.

dia terus melangkah
fatamorgana
demi fatamorgana...
padang itu seperti tidak menjanjikan apa-apa

dengan wajah kurang pasti
debaran yang tak pernah berhenti
tapi dia terus melangkah
terkadang berlari,
menuju sebuah noktah.

Monday, February 8, 2010

MONOLOG

Oh !
Pada pintu terakhir ini
Aku masih gagal membunuhmu
Untuk kesekian kalinya

Tuhan,
Berikan aku belati suci
Bertatahkan doa para wali
Bagi anugerah pembunuhan abadi

Untuk kesekian kalinya
Kembalikan aku ke laut
Kerana antara ombak, karang dan camar
Aku bisa jadi barang mainannya
Dan bahtera itu
Barangkali bisa membawa aku ke sana

Sunday, February 7, 2010

Kebarangkalian dan Takdir

Bila kebarangkalian
menjadi sesuatu
yang tidak mungkin

apakah
kita mesti berperang dengan takdir
atau membiarkan
mimpi menjerat realiti

kerana langkah
tidak mungkin berhenti
pencarian sebuah noktah
menjadi belati di tangan
yang menusuk dada sendiri...

permainan seorang pejuang

cedera - luka, bisa,
kehilangan - sepi, hening..
terbuang - asing, sendiri...
terkorban - sakit, bangkit.
permainan seorang pejuang,
pembunuh lelaki lemah.

rindu yang sakit,
rindu kekasih Hakiki-Tuhan
bukan sedekah kematian...
Tuhan.
Beri aku kekuatan.